Peranan perdana untuk merealisasikan institusi keluarga bahagia perlu dimainkan oleh ibu bapa selaku ketua keluarga. Dalam hal ini, didikan agama dan moral yang teguh dan mantap harus dititikberatkan. Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Hal ini disebabkan pegangan agama serta nilai moral yang kuat yang dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan lebih sempurna. Sebagai contoh, golongan yang berpendidikan agama akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama keluarga. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga berpecah-belah atas alasan yang kadangkala tidak munasabah. Seandainya ibu bapa memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak, mereka akan menghormati orang tua serta saling berkerjasama sesama adik-beradik ibarat hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, maka sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.
Selain ibu bapa, anak-anak juga berperanan dalam usaha untuk merealisasikan institusi keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, anak-anak sebagai remaja iaitu orang yang lebih muda haruslah tahu menghormati orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa. Anak-anak atau remaja juga mestilah sentiasa mendengar nasihat dan teguran orang yang lebih tua daripada mereka kerana orang yang lebih tua lebih dahulu makan garam daripada mereka. Anak-anak merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga maruah keluarga daripada berlakunya sesuatu masalah yang boleh menconteng arang maruah keluarga. Sebagai misalan, apabila anak-anak mempunyai niat untuk melakukan perkara jahat, nasihat daripada orang yang lebih tua dapat mematahkan niat tersebut. Anak-anak atau remaja juga akan lebih menghormati orang yang lebih tua kerana telah memberi nasihat yang baik kepada mereka. Oleh itu, persefahaman dan hubungan yang baik antara anak-anak dan keluarga dapat dijaga. Sekiranya anak-anak sukar mendengar teguran dan keras kepala serta tidak mahu menghormati dan mendengar nasihat orang yang lebih tua daripada mereka, sudah pasti keluarga akan berpecah-belah. Tegasnya, anak-anak memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.
Seterusnya, adik-beradik yang lebih tua seperti abang dan kakak juga boleh memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia. Abang atau kakak boleh menjadi suri teladan kepada adik-adik yang lebih muda. Pendapat ini disokong kerana adik-adik akan mencontohi tingkah laku abang atau kakak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana adik-adik yang lebih muda boleh diumpamakan seperti sehijau warna daun. Dalam kata lain, mereka masih mentah dan mudah terikut-ikut dengan perangai orang yang lebih tua seperti abang atau kakak tanpa menghiraukan sama ada perbuatan tersebut betul atau salah. Abang atau kakak tidak seharusnya bersikap seperti ketam yang mengajari anak-anaknya berjalan dengan betul. Selain itu, mereka juga seharusnya menasihati adik-adik mereka dengan penuh kasih sayang apabila melihat adik-adik mereka melakukan perkara negatif. Dalam konteks ini, mereka tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata kerana perbuatan negatif yang dilakukan oleh adik-adik mereka boleh menjatuhkan maruah keluarga. Seandainya, adik-beradik yang lebih tua tidak memainkan peranan mereka, nescaya usaha untuk merealisasikan instistusi keluarga bahagia tidak dapat dilestarikan. Nyatalah bahawa adik-beradik yang lebih tua memainkan peranan penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.
Selain peranan adik-beradik yang lebih tua, pihak yang turut memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia ialah datuk dan nenek. Datuk dan nenek merupakan orang yang paling penting dan memberikan pengaruh yang teramat sangat terhadap sesebuah keluarga selain ibu bapa. Hal ini demikian kerana datuk dan neneklah yang mengasaskan sesebuah keluarga dimana mereka yang melahirkan ibu bapa seterusnya dapat membina sebuah sebuah keluarga yang lengkap. Selaku orang yang lebih tua dalam keluarga, datuk dan nenek memainkan peranan dalam menjaga hubungan keluarga supaya tidak berlaku sebarang perbalahan yang boleh memecah belahkan hubungan kekeluargaan. Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, datuk dan nenek perlu sentiasa mengambil berat dan bersikap menjaga tepi kain ahli keluarga dengan sentiasa bertanya kepada anak-anak, cucu-cucu serta ahli keluarga yang lain tentang masalah yang mereka hadapi. Apabila mengetahui sesuatu masalah berlaku dalam keluarga, nenek daan datuk haruslah bekerjasama membantu membimbing mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, datuk dan nenek perlu memperihalkan cerita-cerita orang dulu-dulu yang penuh dengan nilai murni supaya dapat memberi pengajaran kepada keluarga mereka. Selain itu, datuk dan nenek juga dapat memberi pendedahan tentang pantang larang dan adat resam yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu dalam usaha untuk membentuk keluarga yang bahagia. Sekiranya, datuk dan nenek tidak menghiraukan keluarga mereka, sudah tentu akan berlaku pergolakan dalam keluarga. Jelaslah bahawa datuk dan nenek berperanan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.
Bertuahlah kita kerana mempunyai ahli keluarga yang dipenuhi dengan kasih saying,tolak ansur dan timbangrasa.Tolong menolong dalam ahli keluarga Bali Rayan nampak utuh dan memberikan manafaat dikalangan ahli keluarga.Sebagai contohnya.Encik Loen Matahu iaitu suami kepada Kartini Bali mendapat bantuan RM 1,000.00 daripada setiap ketua keluarga semasa beliau memerlukan kewangan di atas perbicaraan di mahkamah yang melibatkan tugas sebagai anggota polis.Saya juga mendapat bantuan semasa memerlukan kewangan pembedahan tulang pinggul yang menelan belanja hampir RM 12,000.00.Keluarga Bali RM 1,000.00,Keluarga Gabriel RM 1,000.00.Keluarga Hilnan RM 3,500.00.Keluarga Kartini RM 1,000.00.Keluarga Geoffery RM 2,000.00 dan Godfrey RM 1,000.00.Bantu membantu ini antara tunjang kasih saying yang perlu diteruskan.















































